Monday, 6 January 2014

PENINDASAN TERHADAP HAIWAN

Terdapat beberapa intipati berita yang mengejutkan kita iaitu yang berkaitan manusia yang dikurniakan akal fikiran sanggup untuk berlaku kejam ke atas haiwan. Perkara seperti ini sepatutnya tidak berlaku kerana haiwan merupakan makhluk Tuhan yang tidak tahu apa-apa tentang kehidupan. Mereka hanya dikurniakan nafsu dan perasaan. Timbul persoalan bagaimana manusia yang dikatakan mempunyai tahap pemikiran tertinggi daripada semua makhluk Tuhan ini sanggup melepaskan kemarahan mereka terhadap haiwan yang tidak berdosa ini. Haiwan yang sering menjadi mangsa adalah seperti anjing dan kucing.

         Kedua-dua haiwan ini dijadikan alasan dilupuskan oleh pihak bertanggungjawab atas alasan mereka mengganggu kehidupan manusia. Perlu diingatkan bahawa tempat kita tinggal bukan hanya untuk kita. Bumi ini adalah tempat di mana semua makhluk berhak tinggal termasuklah haiwan-haiwan ini. Siapa kita untuk menafikan hak untuk hidup makhluk yang lain??

        Sering kali alasan mengganggu kehidupan manusia diberikan. Satu persoalan yang ingin saya lemparkan kepada pihak berkaitan adalah kenapa kalian tidak menggunakan akal yang dikurniakan untuk mencari penyelesaian yang lebih mempunyai nilai kemanusiaan berbanding memberi suntikan maut kepada haiwan-haiwan ini sehingga menafikan hak mereka untuk melata di muka bumi ini.?? Adakah kita sebagai manusia sahaja yang berhak untuk hidup di dunia ini??

Perkara ini berlanjutan apabila di kedai-kedai makan anjing atau kucing yang kelaparan ditendang dan diperlakukan seolah-olah mereka tidak berasa sakit. Apa salahnya sedikit rezeki yang diperoleh itu dikongsi dengan mereka asalkan kena dengan caranya. Ini belum lagi keadaan yang berlaku di kawasan kediaman. Kucing dan anjing liar dibaling batu dan diperlakukan seolah-olah mereka sangat hina di mata manusia. 

Di mana sikap manusia yang penuh belas ihsan dan kasihan sehingga tergamak melakukan perkara sedemikian terhadap binatang?? Tidak ada lagikah ruang dalam hati kita untuk menyatakan rasa kasih sayang terhadap haiwan-haiwan ini?? Mereka tidak meminta dijadikan sebagai haiwan tetapi tanggungjawab kita sebagai manusia perlulah tidak menyakiti mereka kecuali jika mereka benar-benar mengancam keselamatan. Perlu difikirkan bahawa dunia ini tempat untuk semua dan kita semua berhak tinggal di dalamnya dengan rasa tenteram..







No comments:

Post a Comment