Monday, 6 January 2014

     ...DAKWAH DAN INTERNET...


Pada abad ke 21 ini tidak hanya menyaksikan era ledakan teknologi maklumat bahkan era ini telah mempersembahkan kepada masyarakat tentang transformasi dunia maya kepada dunia dakwah Islam menjelang abad ke 22. Ada yang berpendapat dengan ledakan teknologi maklumat ini mengakibatkan dakwah Islam akan berkubur. Namun, ia seakan satu manipulasi senario kerana dakwah Islam dilihat lebih mendominasi dunia maya yang mana akses untuk mendalami dan mengenali dunia Islam yang sering dilabel pengganas amatlah mudah sehingga ada yang memeluk Islam kerana dakwah di internet.

Terdapat beberapa pandangan yang menggesa supaya umat Islam tidak aktif menggunakan internet kerana dikhuatiri merosakkan minda dan akidah umat Islam. Namun, ia bukan menjadi masalah jika internet digunakan dengan cara yang betul kerana internet sekadar alat. Cara kita menggunakannya adalah penting sama ada ke arah kebaikan atau sebaliknya.

Agama Islam tidak pernah mengharamkan penggunaan internet sama ada melayari laman sosial mahu pun mencari info yang baru. Kalau pun terdapat keburukan daripada internet, ianya adalah daripada pemyalahgunaan internet itu sendiri. Seperti penggunaan dadah dalam perubatan yang amat diperlukan, namun jika disalahguna boleh membawa kepada kemudaratan. Internet terlalu kuat untuk dijadikan musuh Islam. Oleh itu sewajarnya internet dimanipulasi sebagai salah satu medium terbaik bagi penyebaran dakwah. Masyarakat hari ini terutamanya remaja tidak dapat dibendung dari penggunaan internet. Jika nama Islam digunakan untuk mengharamkan internet, maka hal ini memburukkan lagi imej Islam.


Umat Islam sepatutnya menggunakan teknologi ini untuk kebaikan Islam dengan sebaik-baiknya. Salurkan dakwah dan ilmu Islam melaluinya untuk meningkatkan kualiti hidup seorang Muslim. Dengan internet, kita mampu mendekatkan diri dengan golongan ulama dan tokoh agama yang tinggi ilmu agamanya. Bukan sahaja yang terdapat dalam negara, malah juga yang berada di luar negara seperti Ustaz Zaharuddin dan Dr. Aidh Al-Qarni. Kita boleh memperoleh perkongsian ilmu ulama-ulama  ini tanpa menghabiskan duit yang banyak. 

Sebuah kajian yang dijalankan oleh PewInternet terhadap guru-guru sekolah menengah di Amerika Syarikat menunjukkan 92% daripada mereka berpendapat internet sangat membantu dalam memperoleh bahan rujukan dan maklumat. Dan 57% pula bersetuju internet sangat membantu guru-guru ini dalam berinteraksi dengan para pelajar. Jadi tidak dinafikan perubahan besar boleh berlaku jika guru-guru agama dan pendakwah Islam menggunakan kemudahan ini untuk meningkatkan kualiti dakwah mereka. Kebangkitan dakwah Islam di seluruh dunia pasti dipermudahkan.  (al-Ustaz, Isu No. 18)





 

No comments:

Post a Comment