MAAFKAN SAYA PAKCIK...TERIMA KASIH PAKCIK...
Bismillahirrahmanirrahim.. Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.. Satu ungkapan yang biasa kita dengar di kala seseorang ingin memulakan bacaan ayat-ayat suci al-Quran mahu pun ketika mahu memulakan sesuatu perkara.
Begitu indah agama Islam yang mengajar kita tentang adab dalam kehidupan seharian. Walhal untuk perkara yang kecil sekalipun masih kita diajar tentang adab-adab. Ditambah pula kita sebagai warga Timur yang memang kaya dengan adab dan budi bahasa.
Dalam bahasa Inggeris, civilization atau peradaban membawa maksud keluar dari keadaan primitif atau membaiki tingkah laku masyarakat ke arah yang lebih berbudi pekerti. Dalam bahasa Arab pula peradaban berasal dari perkataan madanna yang membawa maksud pembangunan bandar dan kehalusan budi pekerti.
Keadaan ini menunjukkan bahawa, pembangunan peradaban atau budi pekerti adalah seiring dengan pembangunan fizikal.
Namun.... pada masa kini nilai budi pekerti itu telah luput ditelan kerakusan manusia mengejar harta dunia dan pangkat lalu mengenepikan nilai norma manusia. Terdapat manusia yang tidak mempunyai adab dengan tidak menghormati orang lain bahkan lebih melampau kepada orang tua.
Terdapat isu yang menjadi perhatian ramai kebelakangan ini iaitu isu tentang isteri seorang pemain bola sepak terkenal tanah air yang dikatakan tidak mempunyai budi bahasa dan bersikap kurang sopan kepada seorang pak guard. Isunya hanya kerana pak cik tersebut meminta wanita ini untuk mengalihkan kenderaannya kerana diletakkan di tempat yang salah.
Lebih memburukkan, wanita ini mengeluarkan kata-kata yang tidak sepatutnya diberi kepada pak cik berkenaan, dengan kata lain, perkataan yang kurang sopan. Tambahan pula pak cik tersebut adalah pada peringkat umur ayah kita. Mana mungkin kita tergamak berkelakuan kurang sopan terhadap orang sebaya ayah kita.
Jangan disebabkan rezeki kehidupan kita adalah lebih berbanding orang lain menyebabkan kita berasa tinggi diri. Sepatutnya kita lebih menghargai mereka yang berada di sekeliling kita tidak kira siapa pun mereka kerana mereka juga berhak mendapat layanan yang baik.
Tidak ada ruginya jika kita mengamalkan nilai murni dan budi bahasa dalam kehidupan kerana ia turut menyenangkan hati orang yang melihatnya....

